ANNUAR beramah mesra dengan penerima sumbangan sempena Hari Deepavali. FOTO Hajar Umira Md Zaki.
ANNUAR beramah mesra dengan penerima sumbangan sempena Hari Deepavali. FOTO Hajar Umira Md Zaki.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mensasarkan menerima 1,000 penyertaan pertama bagi siri program latihan Pusat Pembangunan Ekonomi Digital Keluarga Malaysia di Rumah Prihatin bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, program ini adalah sebagai galakan kerajaan kepada peniaga kecil untuk memulakan kembali aktiviti ekonomi dan program penjanaan pendapatan mereka.

"Program ini dijalankan di seluruh negara yang mana hampir 1,000 pusat ekonomi digital digerakkan serentak mulai sekarang bagi memastikan rakyat mengambil peluang daripada perkhidmatan jalur lebar yang diperluaskan dan membudayakan ekonomi baharu untuk menyertai dalam bidang e-Dagang.

"Malah, kami ingin melatih rakyat supaya dapat menggunakan perkembangan teknologi baharu terutamanya Internet dan perkhidmatan jalur lebar untuk menjana pendapatan.

"Jadi, saya menyeru peniaga kecil dan penjaja atau mereka yang menjalankan pelbagai perniagaan mengambil peluang ini untuk meluaskan aktiviti mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sempena Perayaan Deepavali di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini, hari ini.

Annuar berkata, menerusi program ini, peserta akan diberi tunjuk ajar mengenai kaedah atau teknik penjenamaan di media sosial menggunakan modul jurulatih professional dan sijil penyertaan secara digital turut disediakan oleh MDEC.

Katanya, kerajaan turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperluaskan kemudahan Internet kepada rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan menambahkan rangkaian pusat ekonomi digital di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Foodbank Prihatin oleh Rumah Prihatin @ Grand Seasons (Rumah Prihatin) menyantuni seramai 200 keluarga sempena sambutan Hari Deepavali tahun ini.

Rumah Prihatin turut menerima sumbangan sebanyak 2,000 kotak makanan daripada Shopee Malaysia bagi menyokong usaha Rumah Prihatin dalam membantu golongan yang memerlukan dan terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:36 PM