Hajiji Noor
Hajiji Noor
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperluaskan jumlah Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di bawah inisiatif Heart of Borneo (HoB) yang meliputi 30 peratus keluasan negeri ini menjelang 2025.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, pada masa ini lebih 26 peratus keluasan tanah negeri ini atau 1.9 juta hektar sudah diwartakan sebagai TPA di bawah inisiatif HoB.

Menurutnya, Sabah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam pemuliharaan hutan sejak penubuhan Inisiatif HoB 14 tahun lalu dengan 75 peratus daripada 1.9 juta hektar TPA terletak dalam sempadan Malaysia di Borneo.

"Sasaran pengembangan TPA adalah sejajar dengan pelan pembangunan lima tahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021– 2025, ia termasuk Inisiatif HoB, selain Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

"Berdasarkan usaha bersepadu yang kami lakukan, Sabah mengekalkan sebanyak 50 peratus daripada keluasan negeri ini di bawah perlindungan hutan dan kita meningkatkan kawasan litupan hutan kepada 65 peratus dengan 52 peratus daripadanya diwartakan sebagai Hutan Simpan, Taman dan Kawasan Konservasi Hidupan Liar.

"Projek HoB sudah memulihkan 2,000 hektar hutan simpan," katanya ketika merasmikan persidangan antarabangsa HoB secara dalam talian, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Sabah juga menjadi negeri pertama di negara ini yang melancarkan Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice) dan akan melaksanakan Pengurusan Landskap Bersepadu HoB yang memfokuskan kepada pengurusan pembangunan tanah dan alam sekitar.

"Projek enam tahun ini membabitkan sebanyak 1.6 juta hektar dalam landskap HoB, dengan kos RM30.3 juta (USD7.3 million) akan dibiayai oleh Global Environment Facility (GEF), di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)," katanya.

Katanya, sejak 2009, sebanyak RM47 juta disalurkan untuk Inisiatif HoB dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan Persekutuan menjanjikan tambahan RM13 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 1:59 PM