Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir akibat hujan dan fenomena air pasang besar di Kedah dan Johor menunjukkan penurunan petang tadi dengan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Di Kedah, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata jumlah mangsa yang berada di PPS berkurangan kepada 858 orang daripada 233 keluarga setakat 4 petang hari ini berbanding 885 orang daripada 240 keluarga pada pagi.

Beliau berkata, 567 orang daripada 157 keluarga di Kota Setar ditempatkan di tujuh PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, SK Suka Menanti, SK Darul Hikmah, SK Convent, SK Titi Gajah serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent dan SMK Simpang Kuala.

Di Pendang, 287 orang daripada 75 keluarga kekal berada di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan PPS Dewan Cenderawasih manakala empat orang daripada sebuah keluarga di Pokok Sena ditempatkan di PPS SK Tualang.

"Sementara itu, di Baling, PPS SK Tembak A yang dibuka petang semalam bagi menempatkan 10 orang daripada sebuah keluarga telah ditutup sepenuhnya pada 2 petang tadi," katanya.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi menurun kepada lima orang pada 6 petang tadi berbanding 48 orang pada pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, sebuah PPS iaitu Dewan Kampung Baru Sungai Mas yang menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga yang dibuka pada 8 malam semalam ditutup sepenuhnya 6 petang hari ini.

"Hanya sebuah PPS masih beroperasi di daerah itu iaitu Balai Raya Kampung Muhibbah yang menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga.

Vidyananthan berkata, hujan lebat selama dua jam petang semalam dan pertembungan air pasang telah menyebabkan kediaman penduduk di Kampung Baru Sungai Mas dan Kampung Muhibbah dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 10:32 PM