Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini. Foto Ghazali Kori
Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini. Foto Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pas berpuas hati dengan pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengagihan kerusi dibuat hasil perbincangan dan persetujuan bersama Parti Pribumi Malaysia Bersatu (Bersatu) dan Gerakan.

"Hasil perbincangan berkenaan sebagaimana yang diumumkan, bermakna bagi kami (Pas) tidak timbul isu tidak puas hati dan sebagainya sebab memang dirunding di peringkat awal.

"Persetujuan bersama untuk setiap parti bertanding tetapi sebagai satu pasukan walaupun jumlah kerusi itu (mengikut) parti masing-masing tetapi kita akan duduk sebagai satu pasukan bersama kerana kita bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) (dan) bukan atas tiket parti masing-masing, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai hala tuju Muafakat Nasional (MN) yang mungkin terjejas atau sebaliknya, Tuan Ibrahim memaklumkan MN tidak berdaftar atas parti politik.

"Sebab Muafakat Nasional tidak berdaftar, bagi kami Muafakat Nasional ialah satu medan besar untuk penyatuan ummah.

"Ia bukan hanya sekadar untuk pilihan raya sahaja (tetapi) gagasan dia ialah penyatuan ummah yang bukan hanya untuk pilihan raya.

"Pilihan raya mesti parti berdaftar dan sebab itu Pas bertanding atas tiket PN sebab ia berdaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 10:11 PM