Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: PAS tidak berhasrat keluar daripada Muafakat Nasional (MN) selepas berlaku konflik pengagihan kerusi dengan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu akan terus memperkasakan MN yang menjadi medan besar untuk penyatuan ummah.

Katanya, pada masa sama pihaknya juga yakin keputusan PRN di Melaka akan menjadi sebahagian perancangan parti itu pada masa depan.

"Tiada siapa nak keluar (MN), saya rasa kecuali dibubarkan (sehingga setakat ini) tiada niat nak bubar.

"Saya fikir Muafakat Nasional ini agenda besar, macam saya sebut semalam, ia (MN) muafakat ni penyatuan ummah, dia bukan parti berdaftar (sebaliknya) dia gabungan.

"Kita harap kita balik pada asal (dan) kita terbuka (bekerjasama) termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya tetapi dalam konteks pilihan raya, dan kita harap bahawa pertemuan, perbincangan dapat diteruskan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67, di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Umno selepas berlaku pertembungan kerusi di PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata, hubungan di peringkat kerajaan pusat tetap berjalan lancar.

"Dalam konteks kerajaan, kita berjalan macam biasa, tidak ada masalah dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sudah umum bahawa parti-parti yang turun bertanding dalam konteks parti.

"Daripada segi perjalanan kerajaan, kita rasa tidak ada isu sangat, kerajaan pusat berjalan dengan biasa dan Insya-Allah, mudah-mudahan perjalanan PRN Melaka juga kita harap tidak ada isu-isu yang tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 4:19 PM
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa sidang media  pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort. FOTO GHAZALI KORI
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa sidang media pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort. FOTO GHAZALI KORI