Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Malaysia menerima kemasukan pengembara yang mengambil suntikan vaksin Covid-19, Covaxin yang dikeluarkan oleh India.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kemasukan pengembara yang mendapatkan vaksin itu tidak dihalang walaupun negara tidak menggunakan vaksin berkenaan.

"Kita menyambut baik vaksin dari India dan mengucapkan tahniah kepada negara berkenaan kerana mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Bagaimanapun, setakat ini kita tidak menggunakan vaksin berkenaan memandangkan bekalan vaksin negara masih mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin Covaxin yang dibangunkan pengeluar ubat-ubatan India, Bharat Biotech bagi kegunaan darurat.

Covaxin mempunyai keberkesanan 78 peratus terhadap virus Covid-19 serta sesuai untuk negara berpendapatan rendah berikutan keperluan penyimpanan yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 5:45 PM
Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) menyampaikan penyerahan sumbangan korporat keluarga Malaysia berbentuk katil pesakit icu ketika lawatan kerja ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) menyampaikan penyerahan sumbangan korporat keluarga Malaysia berbentuk katil pesakit icu ketika lawatan kerja ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR