Razarudin Husain (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas  pasa sidang media Kejayaan Menumpaskan Sindiket Pengedaran Dan Penyeludupan Dadah Untuk Pasaran Antarabangsa di KLIA hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Razarudin Husain (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas pasa sidang media Kejayaan Menumpaskan Sindiket Pengedaran Dan Penyeludupan Dadah Untuk Pasaran Antarabangsa di KLIA hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Sepang: Sindiket penyeludupan dadah bernilai RM8.1 juta ke Auckland, New Zealand melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Oktober lalu tiada kaitan dengan kes penyeludupan 450 kilogram (kg) heroin ke Australia pada akhir September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata, sindiket pengedaran dadah untuk pasaran antarabangsa yang berjaya ditumpaskan itu mempunyai modus operandi berbeza.

Menurutnya, penyeludupan dadah ke New Zealand menggunakan laluan udara manakala penyeludupan dadah ke Australia menggunakan kapal dagang.

Katanya, walaupun kedua-dua kes itu membabitkan rakyat tempatan namun kes itu masih disiasat secara terperinci.

"Polis memerlukan masa untuk menyelesaikan kes ini berikutan ia membabitkan sindiket dadah berskala besar," katanya tadi.

Pada September lalu, seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia selepas didapati membawa masuk dadah heroin seberat 450 kilogram melalui pelabuhan Melbourne.

Ia membabitkan penghantaran terbesar dalam sejarah negara itu bernilai kira-kira A$140 juta (RM431 juta).

Dadah heroin berasal dari Malaysia itu dihantar ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne yang diisytihar sebagai jubin seramik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 4:08 PM