Gunung Kinabalu. FOTO Arkib NSTP.
Gunung Kinabalu. FOTO Arkib NSTP.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Warganegara dan bukan warganegara Malaysia dibenar memasuki Sabah bagi tujuan lawatan sosial bermula esok, seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor sebelum ini.

Jurucakap Perkembangan Harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan hari ini berkata, individu yang mahu memasuki negeri itu wajib lengkap vaksinasi dan melakukan ujian saringan Covid-19 dengan keputusan negatif, tiga hari sebelum perjalanan.

"Selain itu, bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun perlu ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin," katanya.

Menurutnya, individu bukan warganegara yang dibenarkan adalah isteri atau suami kepada rakyat Sabah dan tanggungan, pemastautin tetap Sabah, pemegang pas kerja dalam perkhidmatan penting dan tanggungan, pemegang pas sementara MyKAS Sabah dan IMM13, pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (MM2H) serta pelajar IPTA dan IPTS.

"Bagi sub kategori lawatan pelabur atas jemputan kerajaan negeri Sabah (domestik dan antarabangsa), mereka perlu mempunyai surat jemputan kerajaan negeri, memiliki pas imigresen yang sah tempoh dan rombongan hendaklah tidak melebihi 10 orang dalam satu kumpulan.

"Selain itu mereka juga dikehendaki memperoleh kebenaran khas memasuki Sabah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah," katanya.

Katanya, individu sub kategori berkenaan yang tidak mendapat kebenaran boleh membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri Sabah melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan kelulusan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 7:53 PM