Kawasan jeram Giam dekat Song. (Gamabr kecil) Pasukan SAR menyusuri sungai bagi mencari mangsa hilang. Foto Ihsan JBPM
Kawasan jeram Giam dekat Song. (Gamabr kecil) Pasukan SAR menyusuri sungai bagi mencari mangsa hilang. Foto Ihsan JBPM
Norsyazwani Nasri

Song: Sembilan selamat dan seorang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam berdekatan dengan jeram Giam di sini, pagi hari ini.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.54 petang.

"Menurut seorang saksi, kejadian dilaporkan berlaku pada 10 pagi.

"Jumlah mangsa yang terbabit seramai 10 orang, sembilan selamat dan seorang lelaki warga emas dipercayai hilang dibawa arus deras sungai," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Difahamkan, bot berkenaan bertolak dari Rumah Inggang, Tapang menuju ke arah pekan Song.

Menurutnya, setakat ini mangsa yang dilaporkan hilang itu masih belum dikenal pasti.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song menggunakan sebuah bot dan dibantu pihak polis.

"Operasi pencarian dilakukan di kawasan hilir lokasi bot itu karam dengan menyusuri sungai terbabit," katanya.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama agensi lain, operasi ditangguhkan pada 6 petang hari ini kerana air sungai surut dan akan disambung semula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 9:58 PM