PENGUMUMAN kerajaan memperluaskan program Jendela adalah harapan besar rakyat Malaysia.
PENGUMUMAN kerajaan memperluaskan program Jendela adalah harapan besar rakyat Malaysia.
Muhammad Saufi Hassan


LANGKAH kerajaan untuk memperluaskan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi penyediaan 100 peratus liputan internet adalah langkah paling tepat.

Ia juga adalah harapan seluruh rakyat negara untuk menikmati kemudahan internet tanpa gangguan serta di serata kawasan tanpa mengira bandar, sub bandar atau kawasan pedalaman.

Menerusi pengumuman Bajet 2023, kerajaan menyediakan RM700 juta bagi pelaksanaan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah.

Sesuai dengan perkembangan teknologi telekomunikasi masa kini, Digital Nasional Berhad (DNB) turut memperluaskan rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi.

Dunia pada hari ini sudah beralih arah kepada digital sepenuhnya dan sudah pasti negara tidak terkecuali dalam arus kemodenan berkenaan.

Pelaksanaan jaringan 5G secara komersial pastinya memberi kesan positif bukan saja kepada kepenggunaan sebaliknya industri secara menyeluruh.

Penyediaan jaringan telekomunikasi itu juga pastinya memberi kesan kepada ekonomi negara, sekali gus menarik pelabur asing menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan mereka.

Untuk perluasan 5G pula, semua penyedia telekomunikasi sudah menandatangani perjanjian penyediaan akses perkhidmatan 5G menerusi DNB.

Perkara itu turut disahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa semua telco berkenaan adalah Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications dan Telekom Malaysia (TM).

Menerusi satu hantaran di Facebook (FB), Tengku Zafrul menyatakan bahawa tidak lama lagi lebih ramai rakyat negara ini boleh menggunakan perkhidmatan 5G.

"Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications, dan Telekom semuanya dah menandatangani perjanjian penyediaan akses 5G yang disediakan DNB. Alhamdulillah.

"Penyediaan rangkaian 5G yang meluas ini pastinya akan memacu pendigitalan negara.

"Kita sudah bersedia untuk mempercepatkan penggunaan 5G," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, langkah kerajaan menerusi bajet berkenaan adalah sangat tepat dan kena pada waktunya.

Beliau berkata, langkah itu juga akan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, sekali gus memberi peluang kepada pertumbuhan ekonomi baharu khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, komunikasi digital pada hari ini adalah sangat penting bukan saja untuk pendidikan sebaliknya ia sudah merangkumi kehidupan masa kini.

"Ketika Covid-19 dulu, kita dapat melihat bahawa ramai dalam kalangan murid atau pelajar yang tercicir akibat masalah capaian internet atau ketersambungan yang lemah.

"Kita juga dapati bahawa ada banyak kawasan yang sebenarnya tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan internet dan bagaimana jika ada pelajar atau murid yang tinggal di kawasan itu, sudah pasti ketinggalan.

"Walaupun fokus kerajaan lebih kepada pelaksanaan 5G secara menyeluruh, namun inisiatif untuk menyediakan ketersambungan internet di seluruh negara adalah untuk kemudahan rakyat," katanya.

Beliau turut mengharapkan bahawa pelaksanaan projek internet luar bandar yang dirintis Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat memperluaskan sambungan internet berkelajuan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:00 AM