GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Seremban. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Seremban. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebanyak 277 notis kehadiran ke mahkamah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) kerana pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 susulan operasi penguatkuasaan yang dijalankan tahun ini setakat 27 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, sehingga 27 Oktober lalu, 172 operasi bersepadu dilaksanakan dan 277 notis memerintahkan kehadiran ke mahkamah mengikut Seksyen32B dikeluarkan, membabitkan nilai kompaun RM82,050.

Katanya, 200 notis dikeluarkan terhadap perokok yang merokok di kawasan larangan dengan nilai kompaun yang boleh dikenakan RM50,000.

Katanya, dua notis dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok dengan nilai jumlah kompaun RM500.

"Selain itu, lima notis pula dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis mereka dengan nilai keseluruhan kompaun RM1,500," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Veerapan berkata, 11 notis lain dikeluarkan terhadap remaja yang merokok di kawasan larangan yang dikenakan kompaun bernilai RM550.

"Baki 59 notis lagi yang membabitkan nilai kompaun RM29,500 dikeluarkan kepada beberapa individu lain atas pelbagai kesalahan," katanya.

Mana-mana kes disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 11:00 AM