Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan tanpa pindaan Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 yang bertujuan menubuhkan Lembaga Angkasa Malaysia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Ahmad Amzad Hashim ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, fungsi Lembaga Angkasa Malaysia adalah berbeza dengan peranan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), sedia ada.

Beliau berkata, MYSA adalah agensi kerajaan dengan peranan khusus dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) sektor angkasa, manakala Lembaga Angkasa pula berperanan sebagai badan kawal selia sektor itu.

"Konsep ini boleh dilihat seperti mana yang diguna pakai Mosti (menerusi) Agensi Nuklear Malaysia iaitu agensi kerajaan yang khusus dalam R&D tenaga atom, manakala kita ada satu lagi, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, ini adalah badan yang mengawal selia bagi tujuan sektor tenaga atom," katanya.

Ahmad Amzad berkata, rang undang-undang itu digubal bagi menyediakan kerangka perundangan untuk memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan dengan selamat, bertanggungjawab dan terjamin selain mematuhi garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

Selain itu, rang undang-undang berkenaan akan menjadi panduan bagi perkembangan teknologi angkasa tempatan dan dijangka meningkatkan minat serta keyakinan industri tempatan dan luar negara untuk melabur dalam sektor angkasa negara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung 4 petang esok bagi pembentangan Bajet 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 8:48 PM