MOHD Said (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan suspek untuk menyamun tiga premis di Seremban pada 24 Oktober lalu. FOTO Ahmad Hasbi
MOHD Said (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan suspek untuk menyamun tiga premis di Seremban pada 24 Oktober lalu. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Seremban: Samun di Seremban, menyorok di Selangor. Itu tindakan yang dilakukan dua daripada tiga suspek yang menyamun tiga premis di daerah ini pada 24 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pasukan khas yang ditubuhkan polis berjaya mengesan suspek dalam tempoh kurang daripada 24 jam sebelum menahan mereka di dua lokasi berbeza di Selangor pada 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, IPD Seremban menerima laporan kejadian tiga samun berantai di premis stesen minyak di Rahang dan Jalan Champbell, di sini, dari jam 7 malam hingga 9 malam, 24 Oktober lalu.

"Daripada maklumat diterima, kejadian membabitkan tiga suspek lelaki dengan kerugian wang tunai sebanyak RM1,500 dan sejumlah rokok. Mereka dipercayai menyamun tiga premis berturut-turut.

"Satu pasukan khas ditubuhkan terdiri daripada anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah. Hasil risikan dalam tempoh 24 jam berjaya menahan dua suspek berusia 27 dan 30 tahun di Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam dan di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui semula laci mesin wang yang disamun dan turut merampas sebuah kereta Proton Wira serta peralatan dipercayai digunakan ketika kejadian.

Menurut beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 31 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata.

"Seorang lagi suspek sedang diburu yang dikenali sebagai K Thiyago, 33, beralamat di HA-293A, Kampung Cherry, Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dan suspek yang masih dibebas diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Saidi Busman di talian 011-31558034," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:25 PM