KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. FOTO arkib NSTP
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Politik Melaka bergolak apabila dikatakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mendukung kerajaan bakal melompat ke parti pembangkang.

Spekulasi mengenai perkara itu bertiup kencang sejak malam tadi selepas terdapat empat nama yang dikatakan bakal beralih arah dengan menyertai Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Keadilan Nasional (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam tempoh terdekat.

Antara nama Adun yang dikaitkan akan melompat kepada pembangkang termasuklah bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Bagaimanapun, Norhizam yang juga Adun Bebas ketika dihubungi menafikan khabar angin berkenaan dan mendakwa tiada sebarang perbincangan mengenainya dibuat malah setakat ini, beliau tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana parti pembangkang.

"Setakat jam 4.30 petang ini tidak ada apa apa pun (yang berlaku), semuanya masih berjalan seperti biasa. Ada yang kata saya nak masuk (parti) itu dan ini, semua (orang) boleh bercakap.

"(Bagi saya) Biarlah orang nak bercakap apa pun, terpulanglah mulut masing-masing. Mungkin mereka mereka sakit hati dengan saya yang selalu turun padang dan buat kerja sekarang," katanya.

Bagaimanapun, tiga lagi Adun yang dikaitkan dengan keadaan itu selain Speaker DUN yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh gagal dihubungi.

Media tempatan hari ini mendakwa kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang pada bila-bila masa berikutan terdapat empat Adun kerajaan dikatakan akan melompat ke PH.

Media itu mendakwa, difahamkan, keempat-empat Adun berkenaan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong PH dan mengatakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengadakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam tempoh terdekat.

Kerajaan Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dibentuk pada Mac tahun lalu selepas PH tumbang berikutan empat Adun ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.

Kerajaan Melaka ketika ini diwakili 17 Adun dengan 14 daripadanya diwakili Umno, diikuti dua Parti Bersatu dan satu Bebas manakala pembangkang pula 11 kerusi.

Sementara itu, Sulaiman ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, enggan mengulas mengenai khabar angin terbabit sebaliknya mengambil sikap terbuka jika perkara itu berlaku.

"Maaf, no comment (tiada komen) mengenai desas-desus perubahan kerajaan negeri. Bagi saya ini perkara biasa dunia politik, perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktunya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 7:21 PM