Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas pengarah Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Dungun didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat bersama tiga pengurus syarikat dengan mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja penyelidikan di institut berkenaan berjumlah RM9,000.

Tertuduh, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, 57, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas Syed Abdullah mengaku salah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, Syed Abdullah didakwa bersubahat dengan tiga pengurus syarikat termasuk Muhammad Azmi Abdullah, 43, dan Azlin Md Ashaari, 54, dengan menggunakan dokumen palsu berjumlah RM9,000.

Kesemua kesalahan itu dilakukan Syed Abdullah di Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Dungun antara 23 April 2018 hingga 19 September 2018.

Bagi kesalahan itu, Syed Abdullah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 471 KK.

SYED Abdullah (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori.
SYED Abdullah (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Dia yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 465 akta sama boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi setiap kesalahan itu, Syed Abdullah dikenakan denda RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, Azlin dan Muhammad Azmi didakwa mengemukakan satu dokumen iaitu invois palsu masing-masing bernilai RM2,400 dan RM2,800 di lokasi sama antara Mei 2018 hingga September 2018.

Mereka yang didakwa mengikut 471 KK berdepan hukuman mengikut Seksyen 465 KK.

Bagi kesalahan itu, Azlin dan Muhammad Azmi dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:10 PM