GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang penjaja minuman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya Disember tahun lalu dan Jun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan melalui panggilan video aplikasi WhatsApp kerana tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah berikutan menjalani kuarantin di lokap.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun ketika berada di rumah mereka di Gurun jam 3 pagi 25 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jun lalu jam 5.30 petang di lokasi sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTKK 2017.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.

Seksyen 16(1) AKSTKK 2017 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada dua sebatan.

Mahkamah menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan juga fakta hukum.

Kes dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan Mohd Fakruzi Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bapa durjana sanggup menjadikan anak kandungnya yang juga seorang pelajar cemerlang sebagai hamba seks.

Anak sulung daripada enam beradik itu dijadikan pemuas nafsu oleh bapanya itu tidak kira sama ada malam atau siang terutama ketika isterinya keluar bekerja atau sedang tidur.

Mangsa bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan tidak berani menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa kerana bimbang adik-adiknya dipukul bapa yang memang panas baran.

Bagaimanapun, perbuatan terbabit terbongkar juga apabila mangsa ditemani ibu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada 13 Oktober lalu sebelum bapanya ditahan pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:51 PM