SULAIMAN pada sidang media di Little India, Jalan Bendahara, Melaka. FOTO Nuraliawati Sabri.
SULAIMAN pada sidang media di Little India, Jalan Bendahara, Melaka. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: 'Patuhilah SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan'. Itu nasihat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada parti politik yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Beliau berkata, pematuhan itu diharap dapat membantu mengekang jangkitan Covid-19.

"Buat masa ini kita patuh sahajalah SOP sehingga SOP baharu (diumumkan), kalau diberikan kelonggaran," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pintu Gerbang Little India di Jalan Bendahara, hari ini.

Sulaiman berkata, beliau tidak mahu gelombang Covid-19 yang pernah berlaku pada PRN Sabah berlaku di Melaka kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

"Kita pun tidak mahu esok ada peningkatan jangkitan Covid-19 dan kita dituduh penyebab utama kepada berlakunya jangkitan jika naik mendadak," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang memperhalusi SOP khas yang turut membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ia dimuktamadkan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu berkata, sekiranya kerajaan memberikan kelonggaran dari segi SOP ia memudahkan perjalanan berkempen oleh parti politik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November depan.

Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 2:16 PM