AZMAN meninjau sawah padi di sekitar Tanjong Karang. FOTO ihsan Mafi
AZMAN meninjau sawah padi di sekitar Tanjong Karang. FOTO ihsan Mafi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Rakyat negara ini perlu sentiasa bersyukur dengan harga komoditi yang rendah dan sentiasa mudah didapati.

Pengerusi Intelek Muda Nasional (Intelek) Mohammad Fadly Mohd Zain berkata, ini kerana dalam konteks tertentu, Malaysia mempunyai kelebihan yang tidak ada pada negara lain termasuklah dalam sektor pertanian yang menjadi nadi ekonomi rakyat.

Katanya, harga beras yang dijual lebih murah perlu dijadikan peluang untuk mempelbagaikan produk berasaskan beras selain dijadikan makanan ruji.

"Berdasarkan perbandingan harga, kita dapati, beras di Malaysia dijual lebih rendah daripada negara lain dan sudah pasti itu juga satu kelebihan.

"Indonesia juga menghasilkan beras tetapi harganya lebih tinggi. Pada saya ia bukan saja pencapaian, tetapi membantu rakyat terbanyak," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden 3 Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Azman Kang Abdullah berkata, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan terus mengekalkan harga yang rendah selain membantu petani untuk menghasilkan pengeluaran padi dengan lebih optimum.

Katanya, dengan harga yang rendah dan mampu dimiliki, sudah pasti pasaran beras di negara ini sentiasa bergerak dan ia akan membantu petani untuk lebih produktif.

"Dari segi inisiatif, saya yakin kementerian berkaitan akan tampil dengan teknologi dan lain-lain.

"Tetapi kita perlu terus membantu petani untuk menghasilkan pengeluaran pada skala yang terbaik, berkualiti dan menjamin bekalan.

"Kedudukan harga yang rendah juga membuktikan kecekapan pengurusan industri dan saya yakin ia boleh dipertingkatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:34 PM