Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Ketika ada golongan yang kehilangan kerja disebabkan pandemik Covid-19 yang bermula awal 2020, seorang graduan kejuruteraan elektrik berasal dari sini pula tekad berhenti kerja dan mencuba nasib menjual pizza.

Bahkan, Noor Akmal Abd Majid, 31, sanggup mengambil risiko besar apabila menjual makanan itu di lokasi agak jauh dari bandar iaitu di Kampung Juar, Seri Menanti yang terletak 10 kilometer (km) dari pekan Kuala Pilah dan 35 km dari bandar Seremban.

Namun, berkat usaha dan percaya rezeki kurniaan Allah SWT, Noor Akmal kini mampu berbangga apabila pizza kampungnya dikenali hampir di semua daerah di Negeri Sembilan.

"Saya ambil keputusan paling besar dalam hidup apabila meninggalkan kerjaya sebagai juruelektrik kilang demi menjual pizza yang tidak kena dengan selera penduduk kampung.

"Semuanya bermula apabila saya mengambil kelas membuat roti secara sambilan ketika bekerja di Senawang dan sejak itu saya mula berjinak-jinak menghasilkan roti benggala dan pizza mini.

"Saya bermula kecil-kecilan dengan mengambil tempahan daripada penduduk kampung. Apabila mereka memberikan maklum balas positif, saya nekad berhenti untuk memberi tumpuan kepada perniagaan pizza ini," katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, dia dibantu ibunya, Nor Zalida Alias, 59, untuk menyiapkan tempahan pelanggan dan mereka hanya bermula di dapur rumah.

"Saya hampir berputus asa dan mula fikir yang jalan dipilih ini salah apabila tempahan semakin banyak. Saya bimbang gagal penuhi semuanya kerana hanya guna 'oven' di rumah.

"Tetapi ahli keluarga beri galakan kepada saya dan kami ambil keputusan untuk mengubahsuai rumah arwah nenek yang terletak bersebelahan rumah untuk dijadikan kedai menjual pizza.

"Kami keluarkan modal RM35,000 untuk beli pembakar roti yang lebih besar dan kos pengubahsuaian selain menggaji lima pekerja di bahagian dapur dan tiga penghantar pesanan," katanya yang memberitahu kedainya pernah dikunjungi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada September lalu.

Ketika ini Pizza Ria Kampung Boy kendalian Noor Akmal mampu memenuhi permintaan di kawasan sekitarnya dan Kuala Pilah, selain Seremban yang dihantar seminggu sekali berikutan kos penghantaran tinggi.

Dia merancang untuk membuka kios di Seremban pada masa hadapan bagi memperluaskan lagi jenamanya.

"Itu rancangan jangka panjang saya, buka kios apabila keadaan ekonomi stabil. Asalnya saya cuma mahu penduduk kampung rasa makanan 'mat salleh' pada harga berpatutan tapi saya bersyukur pizza saya semakin dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 11:37 AM
NOOR Akmal membungkus membungkus pizza yang ditempah pelanggan di kedainya di Seri Menanti, Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
NOOR Akmal membungkus membungkus pizza yang ditempah pelanggan di kedainya di Seri Menanti, Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.