CHE Ramli Ibrahim
CHE Ramli Ibrahim
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Wartawan sambilan Media Prima Berhad (MPB), Che Ramli Ibrahim, meninggal dunia selepas pengsan di dalam kenderaan pacuan empat roda di Kampung Pulai, Gua Musang, hari ini.

Che Ramli, 62, disahkan meninggal dunia jam 4 petang, di Hospital Gua Musang (HSM), di sini.

Mangsa sebelum itu dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan tugasan di sebuah kebun buah-buahan di kawasan berkenaan.

Rakannya, Sharuddin Ibrahim, 59, yang turut sama dalam tugasan itu berkata, mangsa sebelum itu ada mengadu pening kepala dan muntah sebelum diminta berehat dalam kenderaan berasingan.

"Che Ramli menaiki kenderaan lain milik seorang pekebun, namun tidak lama kemudian saya diberitahu dia tiba-tiba pengsan ketika bersandar di bahagian penumpang hadapan.

"Arwah kemudian dikejarkan ke HGM sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Ramli yang baru dua tahun bersara sebagai kakitangan Jabatan Pos Malaysia berkhidmat sebagai wartawan sambilan sejak lebih 40 tahun lalu.

Menurut anaknya, Hafizi Che Ramli, 32, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tetap aktif turun padang mencari berita termasuk hari ini dan semalam.

"Sebab itu ketika dimaklumkan ayah pengsan dan meninggal dunia, kami seakan tidak percaya kerana dia kelihatan sihat cuma dia ada menghidap kencing manis serta darah tinggi sahaja sejak beberapa tahun lalu.

"Selepas proses bedah siasat selesai, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga malam ini," kata anak keempat dari lima beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:24 PM