Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Projek pembangunan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika ini adalah persediaan untuk menjadikan hospital itu bersedia memberi perkhidmatan bagi tempoh 150 tahun lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, hospital berkenaan dibuka sejak 151 tahun lalu iaitu pada 1870 sebagai hospital daerah.

"Terdapat beberapa projek semasa sedang dijalankan di HKL termasuk menaik taraf Jabatan Kecemasan dan pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN).

"Pada masa sama, terdapat cadangan projek pembangunan HKL iaitu mengubah suai dan menaik taraf Institut Pediatrik serta mengubah suai dan menaik taraf bangunan Hospital Bersalin kepada Low Risk Obstretrics & Ambulatory Center, Kuala Lumpur (LROAC KL).

"Selain itu, terdapat projek pembinaan baharu bangunan patologi, hematologi, rekod perubatan, perkhidmatan sokongan perubatan, farmasi dan pengurusan HKL," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengadakan lawatan rasmi di HKL, di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HKL, Dr Rohana Johan.

Khairy berkata, cadangan projek berkenaan sudah dibentangkan dan pihaknya berharap ia akan diluluskan kerana pembangunan itu penting bagi memastikan HKL dapat menjadi rujukan nasional bertaraf dunia.

Beliau berkata. menerusi pembangunan itu, peranan HKL sebagai 'crowne jewel' dapat dikekalkan termasuk sebagai pusat penyelidikan klinikal bertaraf dunia.

Katanya, menerusi lawatan ke hospital itu, beliau mendapat taklimat mengenai peranan HKL dalam menangani Covid-19 dengan menjadi hospital hibrid untuk rawatan virus berkenaan.

"Saya berbangga dengan perkhidmatan diberikan petugas HKL sebagai hospital utama kes Covid-19 dengan jumlah penggunaan katil berkurangan pada waktu ini berbanding pada Julai dan Ogos lalu.

"Penubuhan Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF) membuahkan hasil yang membawa kepada penurunan kes Covid-19 di Lembah Klang," katanya.

KHAIRY (kanan) beramah mesra bersama pesakit dan penjaga di Wad Pediatrik ketika melakukan lawatan kerja ke HKL, hari ini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KHAIRY (kanan) beramah mesra bersama pesakit dan penjaga di Wad Pediatrik ketika melakukan lawatan kerja ke HKL, hari ini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:07 PM