Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Syor Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sudah membentangkan pendirian mengenai perkara itu menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang berlangsung semalam.

"Kita akan bincang sekali lagi mengenai perkara ini dalam mesyuarat jemaah menteri esok.

"Dalam perkara ini, bukan saja mengambil kira faktor kesihatan tetapi juga melihat kepada perlembagaan serta perundangan," katanya pada sidang media semasa mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HKL, Dr Rohana Johan.

Khairy berkata, pihaknya akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan sekiranya pelaksanaan PRN diteruskan.

"Jika ia tidak diteruskan, kita ada masa lagi (persiapan menghadapi PRN)," katanya.

Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan DUN pada 4 Oktober lalu susulan krisis politik di negeri itu.

Politik Melaka bergolak selepas bekas Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga Adun terbabit ialah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

KHAIRY Jamaluddin beramah mesra bersama penerima suntikan vaksin yang ke 1,285,193 dan yang terakhir, Mohd Haidhar, 20, ketika majlis penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KHAIRY Jamaluddin beramah mesra bersama penerima suntikan vaksin yang ke 1,285,193 dan yang terakhir, Mohd Haidhar, 20, ketika majlis penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 5:45 PM