Zahidi Zainul Abidin. FOTO NSTP
Zahidi Zainul Abidin. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka sebanyak 86 kertas siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja bagi tempoh 2018 hingga Ogos lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sebanyak empat kes sudah pun dihadapkan ke mahkamah.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama jabatan dan agensi dibawahnya sedang dan akan terus mengambil langkah proaktif bagi menyebar luas kefahaman mengenai penyalahgunaan media sosial.

"Ini untuk memberi kesedaran kepada pelayar Internet (netizen) supaya tidak menyalah guna media sosial yang mampu mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai dan kerapuhan perpaduan kaum.

"Usaha dijalankan SKMM akan diteruskan berdasarkan laporan dan aduan awam yang

diterima," katanya dalam sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, katanya, satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-MCMC ditubuhkan bertujuan memerangi ancaman jenayah siber secara lebih strategik dan tersusun.

"Jawatankuasa dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM itu berperanan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan lebih pantas serta bersepadu bagi sebarang perlakuan jenayah siber di negara ini, terutamanya apabila membabitkan isu sensitif seperti 3R race, religion, royalty (kaum, agama, institusi diraja)," katanya.

Beliau berkata, KKMM juga sudah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Penjelasan Isu dan Berita Palsu pada 21 Julai lalu sebagai usaha memperkasakan penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Menurutnya, jawatankuasa itu berperanan membincangkan naratif bagi menjelas atau menafikan isu semasa serta berita palsu dikenal pasti dengan input daripada kementerian yang berkaitan.

"Kementerian tegas dalam memastikan setiap kesalahan yang dilakukan diadili sebaiknya dan diambil tindakan sewajarnya.

"Rakyat perlu bersama dalam membantu kerajaan menangani pelaku sumbang siber ini. Semangat Keluarga Malaysia akan disemai dengan sebaiknya beserta kefahaman yang jitu kepada seluruh rakyat.

"Ini supaya setiap daripada kita sentiasa menjaga satu sama lain dan meraikan perbezaan dan persamaan dalam sebuah Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:37 PM