Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap mengikut jadual pada hujung tahun 2026.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementerian komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual dan dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat secepat mungkin.

Katanya, sehingga 31 Ogos lalu pembinaan keseluruhan projek mencapai kemajuan sebanyak 23.96 peratus berbanding jadual sebanyak 25 peratus, iaitu sedikit lewat daripada jadual iaitu 1.04 peratus, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, skim kereta api yang diluluskan pada 14 Mei 2020 merekodkan kemajuan kerja fizikal mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus.

"Kerja fizikal juga sedang giat dilaksanakan di Seksyen B, jajaran dari Dungun ke Temerloh. Sejak disambung semula pada Julai 2019 kemajuan kerja fizikal mencapai 28.04 peratus berbanding jadual sebanyak 26.90 peratus merangkumi kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

"Seksyen C dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu siap pada Disember 2027," katanya.

ECRL
ECRL

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) berhubung perkembangan terkini projek ECRL dan jangkaan perubahan tarikh siap projek di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menjawab soalan dikemukakan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) yang bertanya perkara sama dan keputusan kerajaan mengenai pemilihan jajaran ECRL.

Dr Wee berkata, kerajaan mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan ECRL memberi impak ekonomi maksima seperti yang diumumkan pada 5 April lalu.

"Dalam hal ini, adalah penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan. Kelebihan logistik ini akan dicapai tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan penumpang, sekaligus menjadikan ECRL sebagai pemangkin ekonomi.

"Cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang sudah dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 serta Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 13 Ogos. Turut diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos dan 2 September tahun sama," katanya.

Katanya, jajaran utara ECRL sekali lagi diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada 31 Mac lalu dan mendapat kelulusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:48 PM