Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful Wan Jan.
Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Perbincangan segera akan dijalankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan kemelut politik Melaka.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kenyataan rasmi akan dikeluarkan parti itu secepat mungkin.

"Saya mengambil maklum mengenai laporan berita berkaitan kerajaan negeri Melaka.

"Pimpinan tertinggi Bersatu akan membincangkan perkembangan ini dengan segera dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh parti," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penarikan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Adun terbabit adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Mereka juga menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Spekulasi mengenai perkara itu bertiup kencang sejak awal bulan ini selepas dikatakan terdapat empat Adun bakal beralih arah dengan menyertai Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Keadilan Nasional (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam tempoh terdekat.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang pada bila-bila masa berikutan terdapat empat Adun kerajaan dikatakan akan melompat ke PH.

Difahamkan, keempat-empat Adun berkenaan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong PH dan mengatakan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengadakan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam tempoh terdekat.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 3:35 PM