DATUK Seri Idris Haron. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Idris Haron. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menafikan terbabit dalam gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatapps hari ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, berkata beliau tidak faham mengapa ada pihak yang cuba mengaitkannya dengan dakwaan berkenaan.

Katanya, beliau sememangnya tiada sebarang masalah dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika ini.

"No such thing (tiada perkara sebegitu). Saya tidak faham mengapa dikaitkan (dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri), (namun) mungkin ada gerakan seperti itu daripada pihak lain tetapi yang pastinya bukan inisiatif saya," katanya.

Ditanya sama ada beliau terbabit dengan dakwaan akan melompat ke parti pembangkang, Idris berkata, "Tiada `lompatan' dan (saya) tiada masalah dengan CM (Ketua Menteri)," katanya.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan kepada media tempatan, Idris yang juga EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri dilaporkan berkata, sebilangan kecil ADUN UMNO tidak boleh mempengaruhi kumpulan yang lebih besar (ADUN PH) untuk menukar kerajaan negeri.

Katanya, setiap keputusan yang dicapai mengenai dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan negeri semestinya melalui permuafakatan dengan kumpulan majoriti dalam kalangan pemegang kuasa untuk mempengaruhi kelompok yang lebih kecil.

"Two tigers cannot share the same mountain (Dua harimau tidak boleh berkongsi gunung yang sama). Changing a government is not like changing shirts (Menukar kerajaan tidak seperti kita menukar baju)," katanya.

Idris antara nama yang disebut-sebut terbabit dalam kumpulan yang akan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Selain itu, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan (UMNO); ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU) serta ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) turut dikatakan menyertai kumpulan berkenaan dengan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Norhizam menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa tiada sebarang perbincangan mengenainya dibuat, malah setakat ini, beliau tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana parti pembangkang.

Bagaimanapun, sehingga petang tadi, Nor Azman dan Noor Effandi tetap gagal dihubungi.

Jumaat lalu, media melaporkan keadaan politik Melaka dipercayai bergolak apabila empat ADUN yang mendukung kerajaan negeri, dikatakan bakal melompat ke parti pembangkang.

Difahamkan, empat nama, dua daripadanya ADUN UMNO dan masing-masing satu daripada BERSATU dan BEBAS, dikatakan bersepakat untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) negeri dalam tempoh terdekat untuk menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

Malah, difahamkan keempat-empat ADUN berkenaan dikatakan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menolak kepemimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka.

Kerajaan Melaka yang diterajui BN dibentuk pada Mac tahun lalu selepas PH tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dijangka membuat sidang media dalam tempoh terdekat berhubung perkembangan situasi politik di negeri itu.

"Saya akan mengadakan sidang media dalam sehari dua ini, sejurus selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri. Harap bersabar," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 8:47 PM