Pemandu lori tangki maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 326 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan kira-kira jam 6.00 pagi tadi, dekat sini. FOTO Ihsan PDRM
Pemandu lori tangki maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 326 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan kira-kira jam 6.00 pagi tadi, dekat sini. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Tapah: Pemandu lori tangki maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer 326 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, mangsa A Samynogam, 66, parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga buah lori terbabit dalam perjalanan ke arah yang sama.

"Apabila tiba di tempat kejadian, lori tangki dipandu mangsa dipercayai melanggar bahagian kanan belakang lori muatan bahan binaan yang berada di lorong kiri menyebabkan lori terbabit terbabas di bahu jalan.

"Lori yang dipandu mangsa kemudian melanggar pula lori muatan air mineral dan mengheretnya kira-kira 50 meter sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan masuk ke lorong bertentangan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Wan Azharuddin berkata, mangsa yang berasal dari Matang, Perak parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala dua pemandu lori lain berusia 41 dan 59 tahun tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 1:45 PM