GAMBAR hiasan. Vaksin Sinovac. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Vaksin Sinovac. FOTO AFP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd secara bersyarat kepada golongan berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 yang bersidang, hari ini.

CoronaVac sebelum ini sudah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

"Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi mesyuarat terbabit telah bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia kepada golongan yang berumur 12 tahun ke atas.

"Ini adalah vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada Jun 2021.

"Bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

"Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, KKM juga ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin terbabitt dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

"KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 12:31 PM