X
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 Pfizer selepas enam bulan dos kedua diberikan kepada individu yang berusia 18 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-365 yang bersidang hari ini.

"Mesyuarat memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany, sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas.

"Vaksin Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021.

"Ini adalah vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat risiko (benefit over risk) bagi vaksin itu kekal positif.

"KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 10:56 AM