AHMAD Yakob. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Yakob. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan negeri melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pusat yang prihatin dengan meletakkan Kelantan di antara enam negeri bakal diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan, kelmarin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, penghargaan itu turut diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana turut mengutamakan Kelantan dalam agihan peruntukan pembangunan.

Katanya, beliau berpuas hati kerana Kelantan di antara negeri-negeri yang disebut Perdana Menteri ketika pembentangan RMK-12

"Ianya menunjukkan keprihatinan kepimpinan Perdana Menteri untuk terus memberikan keutamaan kepada Kelantan dalam agihan peruntukan pembangunan.

"Kita sangat berpuas hati dengan pembentangan RMK-12 dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak meminggirkan Kelantan yang kurang membangun dan termasuk dalam lima negeri lain iaitu Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak serta Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Pada perkembangan lain, Ahmad juga berharap rakyat Kelantan akan mendapat manfaat dan kepentingan menerusi Agenda Transformasi Sektor Air 2040 yang diketengahkan oleh kerajaan.

"Menerusi program itu sebanyak RM25.8 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air sekali gus menjamin bekalan.

"Peruntukan yang diberikan kerajaan itu adalah satu nilai besar, jadi saya berharap akan ada kepentingan rakyat Kelantan menerusi peruntukan berkenaan," katanya.

Berita berkaitan

Ekonomi negara dijangka bertambah baik pada 2023

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:36 PM