Pengerusi Tribunal Wanita Malaysia (TWM) Ivy Josiah (kanan atas) bersama Jawatankuasa Pemandu TWM.
Pengerusi Tribunal Wanita Malaysia (TWM) Ivy Josiah (kanan atas) bersama Jawatankuasa Pemandu TWM.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kira-kira 20 wanita akan tampil berkongsi pengalaman sendiri dalam pelbagai bentuk diskriminasi di Tribunal Wanita Malaysia 2021 yang akan diadakan selama dua hari bermula 27 November depan.

Pengerusi Tribunal Wanita Malaysia (TWM), Ivy Josiah berkata, diskriminasi yang akan dikongsikan itu termasuk keganasan dan ketidaksamarataan dalam rumah tangga, gangguan seksual dan isu berkaitan pencabulan hak wanita.

Katanya, tribunal berkenaan diilhamkan daripada penganjuran tribunal sama di Jepun yang memperjuangkan isu penghambaan seks pada zaman tentera Jepun.

"Saya pernah hadir di Tribunal Wanita Jepun yang diadakan di Tokyo mengenai penghambaan seks tentera jepun terhadap wanita dari Korea dan Malaysia yang dihantar ke kem tentera dijadikan sebagai hamba seks.

"Apabila tribunal ini diadakan, ia memaksa kerajaan Jepun mengaku bahawa amalan penghambaan seksual dan tentera Jepun mengeksploitasi wanita dan memaksa mereka meminta maaf.

"Hakim tribunal juga membuat rekomendasi ada sejumlah pampasan perlu dibayar kerajaan Jepun kepada wanita yang masih hidup dengan ada antara mereka berumur 90 tahun.

"Jadi, kami mengharapkan dengan penganjuran tribunal sama di Malaysia ini, suara wanita ini didengari dan diberi perhatian kerana hampir setiap bulan kita terima isu pelanggaran hak asasi dan keganasan wanita berlaku," katanya pada sidang media bersama

Jawatankuasa Pemandu TWM dianggotai 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara maya hari ini.

Katanya, tribunal itu akan memaparkan realiti sebenar kehidupan dilalui wanita di Malaysia menerusi prosiding yang membabitkan saksi (mangsa), advokat dan panel hakim bertauliah.

"Setiap saksi menjalani prosedur penilaian risiko dengan barisan profesional untuk memastikan mereka bersedia dari pelbagai aspek termasuk emosi.

"Tiada siapa dipaksa terpulang kepada mereka untuk memilih mengikut keselesaan untuk berkongsi pengalaman sama ada secara langsung atau rakaman awal.

"Malah, ada saksi akan berkongsi pengalaman tanpa mendedahkan identiti atau muka mereka dikaburkan antara strategi melindungi mereka dan jawatankuasa sedia membantu mereka.

"Selepas selesai sesi testimoni (pengalaman) saksi dan pernyataan advokat, semua rekomendasi dibuat hakim akan dibentangkan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terbabit dan diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)," katanya.

Tribunal Wanita Malaysia dianjurkan Joint Action Group for GenderEquality (JAG) bersama Engender Consultancy akan diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom dan Facebook dan pendaftaran boleh dibuat di WomensTribunalMalaysia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 2:31 PM