GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Pura-pura mahu membeli dodol sebelum melarikan rantai emas di leher seorang peniaga wanita.

Itu menjadi modus operandi seorang lelaki yang menyamun di Kampung Air Tanai, Air Paabas di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 11.40 pagi ketika mangsa berusia 54 tahun bersendirian di rumahnya.

Katanya, suspek menaiki Perodua Myvi putih singgah di kediaman itu dan menyamar sebagai pelanggan.

"Mangsa mengusahakan jualan dodol keluarga sejak 30 tahun lalu dan ketika kejadian, suspek mendakwa mahu membeli dodol.

"Ketika urusan jual beli berlangsung, suspek tiba-tiba menarik rantai di leher mangsa dan segera melarikan diri.

"Dia juga sempat melarikan dodol yang didakwa mahu dibeli," katanya ketika dihubungi.

Arshad berkata, kerugian mangsa adalah rantai emas yang dianggarkan RM2,000, manakala dodol RM30.

Katanya, pihaknya giat mengesan suspek yang dipercayai berusia 20-an untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:33 PM