Lokasi kanak-kanak perempuan terjatuh sebelum dihanyutkan arus di di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di Shah Alam, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Lokasi kanak-kanak perempuan terjatuh sebelum dihanyutkan arus di di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di Shah Alam, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini, petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 6.18 petang.

Menurutnya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam serta Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa adalah anak kepada seorang lelaki warga Indonesia yang bertaraf pemastautin tetap.

"Mangsa dipercayai bermain air di kawasan itu sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam 1.52 meter dan hanyut dibawa arus.

"Longkang ini mengalir ke Taman Sri Muda dan pencarian kini sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang bermula pada 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 8:26 PM