DATUK Seri Hamzah Zainuddin bercakap pada sidang media khas mengenai SOP di Pejabat KDN Putrajaya. FOTO Hazreen Mohamad
DATUK Seri Hamzah Zainuddin bercakap pada sidang media khas mengenai SOP di Pejabat KDN Putrajaya. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Polis akan memburu mereka yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) susulan mengesan terdapat 523 daftar masuk premis termasuk pasar raya membabitkan individu positif Covid-19.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 (JKPS) bermesyuarat bagi membincangkan penambahbaikan strategi pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan SOP Covid-19 sedia ada.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu, JKPS memandang serius laporan analisis mobiliti aplikasi MySejahtera yang mendedahkan bahawa sebanyak 523 daftar masuk dikenalpasti dalam kalangan kes pesakit positif Covid-19 yang diberikan perintah HSO.

"Menurut data yang diperolehi, sebanyak 18 peratus kes itu dikesan berlaku di pasar raya.

"Sehubungan itu, bagi membolehkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasadengan pantas dan tegas, JKPS meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta merta (real-time) kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat JKPS, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, melalui maklumat itu, pihak berkuasa seperti PDRM dapat diatur gerak terus ke mana-mana lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Selain itu, pihak premis yang didapati membenarkan individu yang melanggar perintah HSO memasuki premis mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Mesyuarat JKPS pada hari ini juga mendengar pembentangan daripada

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) berhubung pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat yang bermula pada 16 September lalu melalui projek rintis Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, Op Patuh akan memberikan tumpuan khusus terhadappelaksanaan Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek rintis itu sebelum ia diperluaskan kepada destinasi pelancongan yang lain.

"Sejak dilancarkan pada 25 Jun lalu, Op Patuh sehingga semalam sudah menjalankan sebanyak 1,843,856 pemeriksaan di seluruh negara ke atas 178,266buah kilang, 79,974 tapak pembinaan, 1,565,649 premis perniagaan dan 24,967asrama penginapan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 7,410 kompaun dikeluarkan dan 4,440 premis diarah tutup," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 8:33 PM