SUASANA pemandangan di Langkawi SkyBridge yang masih suram dan lengang tanpa kehadiran pelancong. FOTO Luqman Hakim Zubir
SUASANA pemandangan di Langkawi SkyBridge yang masih suram dan lengang tanpa kehadiran pelancong. FOTO Luqman Hakim Zubir
Hamzah Osman


Langkawi: Tiada kompaun dikeluarkan kerana kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan projek rintis gelembung pelancongan di pulau ini setakat ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, sehingga tengah hari ini, polis tidak mengeluarkan sebarang kompaun kepada pelancong.

"Pemantauan mendapati pelancong individu dan berkumpulan di sekitar pulau ini mematuhi SOP seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sama seperti semalam, hari ini pemantauan turut dilakukan di 22 lokasi iaitu sembilan pusat beli-belah, diikuti 10 tempat rekreasi dan pintu masuk utama tiga," katanya ketika dihubungi di sini.

Shariman berkata, operasi pemantauan SOP itu disertai 60 anggota polis yang bertugas secara bergilir dalam usaha memastikan projek rintis gelembung pelancongan tidak tercalar dengan kes positif baharu Covid-19.

"Kita harap angka kosong kompaun yang dicatat sejak hari pertama semalam akan berterusan, sekali gus menunjukkan masyarakat kini mementingkan keselamatan dan kesihatan ketika bercuti," katanya.

Tambah beliau, semua pelancong, pemilik premis perniagaan dan pengusaha produk pelancongan dinasihatkan terus mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengelakkan penularan Covid-19 di pulau ini.

"Kerjasama setiap pelancong penting dalam memastikan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, juga projek negara yang bermula semalam mencapai kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 3:40 PM