MUHAMMAD Aifaa bersama dua anaknya ketika menerima sumbangan daripada NGO PERKASIH N9, dirumahny. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MUHAMMAD Aifaa bersama dua anaknya ketika menerima sumbangan daripada NGO PERKASIH N9, dirumahny. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Saya buntu untuk cari duit dalam masa terdekat bagi pembedahan jantung isteri," kata Muhammad Aifaa Zulkiffly, 33, berhubung masalah yang dihadapinya bersama isteri, Norsihmah Anuar, 33.

Menurutnya, dia perlu sediakan wang RM36,000 bagi pembedahan memasang alat bantuan jantung (ICD) isterinya itu.

"Doktor maklumkan pada Rabu lalu berhubung perkara itu. Pembedahan isteri sepatutnya dibuat pada Isnin lalu tetapi ditangguhkan kerana perlu menyediakan kos pembedahan.

"Isteri sekarang ada di Hospital Serdang dan saya hanya dapat melawatnya dua kali sehari kerana terpaksa bekerja mencari duit belanja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cempaka, Bandar Springhill.

Muhammad Aifaa berkata isterinya dikesan menghidap penyakit paru-paru berair sejak dua tahun lalu dan mula mengalami masalah jantung baru-baru ini.

"Selain masalah jantung bengkak dan paru-paru berair, dia juga ada masalah darah tinggi, mungkin kerana bimbang penyakitnya itu.

"Saya buntu mencari dana untuk pembedahan isteri sedangkan doktor mengatakan ia (pembedahan) perlu disegerakan.

"Isteri di masukkan ke Hospital Port Dickson pada 12 September (Ahad) dan dipindahkan ke Hospital Serdang pada 19 September lalu berikutan sudah berada dalam keadaan koma," ujar bapa dua anak lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun itu.

Menurutnya, dia terpaksa kerap bercuti untuk menguruskan isteri dan dua anaknya menyebabkan pendapatan turut terjejas.

"Selain mencari dana untuk pembedahan isteri, saya juga perlu menyediakan wang sewa rumah RM600 sebulan.

"Dirumah pun anak yang masak jika saya perlu bekerja dan mereka terpaksa menguruskan diri sendiri jika saya keluar bekerja.

"Buat masa sekarang, saya amat memerlukan sumbangan orang ramai untuk pembedahan segera isteri yang mana perlu disegerakan," katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, juga berusaha mengumpulkan dana bagi membantu keluarga ini terutama untuk pembedahan isterinya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini, boleh menghubungi Muhammad Aifaa Zulkiffly ditalian 017-369 4630.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 4:39 PM