DUA mangsa yang terselamat ditemui di tepi sungai berkenaan. FOTO ihsan Bomba
DUA mangsa yang terselamat ditemui di tepi sungai berkenaan. FOTO ihsan Bomba
Juwan Riduan


Tenom: Dua individu termasuk kanak-kanak hilang selepas bot dinaiki karam dalam kejadian di Sungai Padas berdekatan Kampung Kalandos Pangi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia 10 dan 50 tahun dikatakan menaiki bot berkenaan bersama dua individu lain selepas memberi barangan keperluan di pekan Tenom.

Bagaimanapun, sebaik cuba menyeberangi sungai, bot berkenaan dikatakan tiba-tiba terbalik disebabkan arus deras.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.13 petang sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Ketika kejadian, bot yang menghampiri tebing sungai tiba-tiba terbalik kerana arus sungai yang deras.

"Dua mangsa iaitu lelaki warga emas dan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri, manakala dua mangsa lagi hanyut dibawa arus deras," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pasukan bomba terpaksa menggunakan pengangkutan kereta api untuk ke lokasi kejadian.

"Maklumat lanjut berhubung kejadian akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Difahamkan, kawasan kejadian hanya boleh diakses menggunakan kereta api sahaja yang memakan masa perjalanan hampir satu jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 8:51 PM