Antara kenderaan 4x4 yang disita selepas dikesan menceroboh Hutan Simpan Petuang Hulu Terengganu semalam. Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu
Antara kenderaan 4x4 yang disita selepas dikesan menceroboh Hutan Simpan Petuang Hulu Terengganu semalam. Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menahan 14 pemandu kenderaan pacuan empat roda (4x4) selepas didapati menceroboh kawasan Hutan Simpan Petuang, Hulu Terengganu semalam.

Dalam serbuan pada 11. 30 pagi itu, kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 65 tahun ditahan kerana memasuki kawasan hutan simpan terbabit tanpa kebenaran.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, operasi dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bersama anggota pasukan Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat susulan aduan terdapat pencerobohan di kawasan berkenaan.

"Dalam operasi itu, kita menahan 14 lelaki bersama kenderaan 4x4 masing-masing yang dipercayai digunakan untuk memasuki hutan simpan tanpa kebenaran bertulis atau permit memasuki hutan simpan kekal.

"Ketika serbuan dilakukan, mereka sedang berehat di tepi sungai berhampiran dan mendakwa memasuki kawasan hutan simpan itu untuk menikmati keindahan alam sempena cuti hujung minggu.

"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut, manakala kenderaan yang ada turut disita," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Roslan berkata, pihaknya sebelum ini menahan 13 penunggang motosikal 'motocross' di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada Khamis lalu kerana kesalahan sama.

Katanya, pihaknya memandang serius isu pencerobohan memandangkan kawasan hutan simpan kekal tidak boleh diceroboh tanpa kebenaran pihak berkuasa.

"Kita bukan hanya menahan mereka yang mencuri hasil hutan yang ada tetapi menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak masuk ke dalam hutan simpan tanpa kebenaran.

"Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 10:47 AM