Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penuntut kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian boleh memilih untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkenaan di lokaliti masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Aktiviti membabitkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan.

"Namun, ia berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT secara maya, hari ini.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Sementara itu, Dr Noraini turut mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada penuntut warganegara universiti awam bagi Semester 1 Sesi 2021/2022.

Beliau berkata, ia bakal memanfaatkan 555,340 penuntut dengan nilai keseluruhan RM175 juta.

"Pengurangan itu atas dasar keprihatinan dan kecaknaan KPT terhadap bebanan keluarga serta pelajar," katanya.

Katanya, program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling seperti Tele-Kaunseling serta Pengurusan Kesihatan Mental Diri turut disediakan di bawah inisiatif #KPTPRIHATIN selaras prinsip Keluarga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 3:26 PM