Ishak Yunus.
Ishak Yunus.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: "Sudah 40 tahun masalah ini berlarutan, keadaannya tetap sama," begitulah reaksi Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Abas, Ishak Yunus mengenai masalah kekurangan bekalan air untuk kegunaan pesawah di 74R2 dan 74L2 di Parit Abas, di sini.

Ishak mengakui, hampir setiap musim masalah sama pasti berlaku dan antara sebab utama masalah kekurangan air berlaku disebabkan keadaan infrastruktur yang sudah lama iaitu palong air rendah dan dalam.

"Bila palong air rendah dan tanah bendang tinggi, macam mana air nak masuk? Sepatutnya kami di sini dah memulakan proses tanaman padi pada 7 September lalu, tapi sampai hari ini air masih tidak cukup," katanya ditemui media, hari ini.

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamhari melakukan tinjauan palong di kawasan itu.

Menurut Ishak, akibat daripada masalah itu, pesawah terpaksa mengeluarkan kos tinggi bagi membolehkan petak sawah mereka mendapat bekalan air mencukupi.

Katanya, pihaknya berharap kerajaan serius menangani isu kekurangan bekalan air ini kerana ia sudah menjadi penentu kualiti dan hasil padi yang ditanam pesawah.

Dalam pada itu, Razman berkata, dua pam bergerak akan dipasang JPS di kawasan Parit Abas sebagai langkah awal bagi mengatasi masalah yang dihadapi pesawah di situ.

"JPS akan memasang dua pam bergerak hari ini dan untuk jangka masa panjang pula, satu kajian menyeluruh akan dibuat terhadap keberkesanan dan fungsi infrastruktur dan tali air TA74 ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:23 PM