DADAH disyaki ganja yang dirampas dari pemandu trelar ketika melalui SJR Op COVID-19 di Plaza Tol Lipat Kajang. FOTO IHSAN POLIS
DADAH disyaki ganja yang dirampas dari pemandu trelar ketika melalui SJR Op COVID-19 di Plaza Tol Lipat Kajang. FOTO IHSAN POLIS
Nuraliawati Sabri


Jasin: Cemas ditahan polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19, seorang pemandu treler bertindak 'jujur' apabila menyerahkan kotak berisi ganja dibawanya dalam kejadian di Plaza Tol Lipat Kajang, di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah berkata, suspek berusia 53 tahun ditahan kira-kira jam 6.30 petang ketika melalui tol untuk ke Klang, Selangor.

Beliau berkata, sebaik melalui SJR polis bertugas menahan treler terbabit bagi pemeriksaan lanjut dan dapati hanya suspek seorang diri tanpa kelindan.

"Semasa pemeriksaan dijalankan suspek tiba-tiba mengambil satu kotak kertas kecil dari ruang rehat di belakang kerusi pemandu dan menyerahkan kepada polis yang membuat pemeriksaan.

"Pemeriksaan ke atas kotak itu menemui satu ketulan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 600 gram," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar dan membawa bekalan itu kepada kenalan lain.

"Dadah dibawanya itu dianggarkan bernilai kira-kira RM1,000. Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif ganja, namun semakan mendapati dia tiada rekod lampau," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bapa empat anak itu kini direman tujuh hari sehingga 19 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:19 PM