DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg dan rombongan sedang melawat tapak Projek Taman Tebingan Sri Aman tengahari tadi. FOTO Joshua Eric
DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg dan rombongan sedang melawat tapak Projek Taman Tebingan Sri Aman tengahari tadi. FOTO Joshua Eric
Joshua Eric


Simanggang: Golongan remaja di negeri ini dijangka selesai menjalani proses suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya menjelang penghujung Oktober depan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, proses vaksinasi itu membabitkan seramai 289,200 remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun.

"Kerajaan Sarawak menyasarkan kesemua remaja ini lengkap menerusi suntikan vaksin Covid-19 menjelang 3 Oktober ini iaitu ketika sesi persekolahan mula dibuka.

"Apabila proses terbabit selesai dilakukan maka pihak kita akan terus beralih kepada pemberian suntikan vaksin terhadap remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di tapak projek Taman Tebingan Sri Aman, di sini, hari ini.

Katanya, apabila kesemua remaja terbabit lengkap menerima suntikan vaksin, mereka boleh menghadiri sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah dalam keadaan lebih terlindung berbanding sebelum itu.

Sementara itu Abang Johari berkata, Sarawak sedia mengkaji semua prosedur operasi standard (SOP) jika mendapat 'lampu hijau' daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jika KKM mengatakan situasi pandemik Covid-19 sudah tiba di satu tahap (yang selamat) maka mungkin kita akan bertindak mengkaji semula SOP yang dilaksana dalam negeri ini," katanya.

Beliau turut memberitahu sektor ekonomi di negeri itu akan dibuka semula jika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selesai dilaksana dan berlaku penurunan kes positif dalam kalangan rakyat.

"Saya juga mencadangkan kepada rakyat agar membeli Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 yang kini dijual pada harga RM19.90 setiap set untuk melakukan saringan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 3:59 PM