Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 65,252 remaja berusia 16 hingga 17 tahun di negeri ini sudah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Jumlah itu melebihi separuh atau 63.6 peratus daripada 96,400 remaja pada usia berkenaan yang layak menerima vaksin.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai komorbid pula, seramai 3,981 orang sudah menerima dos pertama vaksin.

Menurutnya, ia meliputi 2.1 peratus daripada 192,800 remaja berusia 12 hingga 15 tahun di negeri ini.

"Melihat kepada pencapaian program imunisasi remaja terutama berusia 16 hingga 17 tahun, kita kini dalam landasan untuk mencapai sasaran vaksinasi sepenuhnya menjelang pembukaan sekolah pada 3 Oktober nanti.

"Bagi golongan berusia 12 hingga 15 tahun, vaksinasi dijangka lengkap menjelang penghujung Oktober," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majma Mall, di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak juga menghampiri sasaran untuk melengkapkan vaksinasi apabila sebanyak 78.8 peratus rakyat sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan punca angka jangkitan harian Covid-19 di Sarawak yang masih tinggi sejak dua minggu lalu.

"Hari ini saya difahamkan, Sarawak masih mencatatkan lebih 3,000 kes dan ia berlaku berikutan tunggakan keputusan ujian makmal sejak beberapa hari lalu.

"Bagaimanapun, hampir keseluruhan kes baharu harian itu dalam kategori 1 iaitu tidak bergejala dan kategori 2 iaitu bergejala ringan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:24 PM