KEMALANGAN membabitkan van dan treler di Kilometer 331.2 PLUS arah utara. FOTO Ihsan PDRM.
KEMALANGAN membabitkan van dan treler di Kilometer 331.2 PLUS arah utara. FOTO Ihsan PDRM.
Rosman Shamsudin


Tapah: Dua lelaki lelaki maut selepas van dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 331.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, warga Filipina, Relano Gemar, 35, maut di lokasi kejadian, manakala Collins Prestly Primus, 29, yang berasal dari Keningau, Sabah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.54 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian van Nissan yang dinaiki empat lelaki dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Bukit Kayu Hitam sementara treler tanpa muatan dari Setia Alam, Selangor ke Ipoh.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, van dipandu lelaki berusia 31 tahun hilang kawalan lalu melanggar belakang treler yang berhenti di lorong kecemasan sebelah kiri jalan.

"Kemalangan itu mengakibatkan penumpang van di bahagian belakang, Relano maut di tempat kejadian, manakala Collin yang duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Tapah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Belai berkata, seorang lagi penumpang lelaki berusia 25 tahun berasal dari Sibu, Sarawak yang duduk di bahagian belakang hanya cedera ringan.

"Pemandu van dan pemandu treler berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Pemandu van ditahan polis dan akan menjalani ujian dadah serta alkohol," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:15 PM