Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang penjawat awam direman selama enam hari untuk membantu siasatan kes rogol membabitkan anak tirinya, yang dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Rusli Ahmad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lelaki itu ditahan di rumahnya di bandar ini, pada 5.30 petang semalam.

Beliau berkata, penahanan itu susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 14 tahun yang mendakwa dirogol bapa tirinya sejak usianya 11 tahun dan kejadian terakhir pada 8 pagi kelmarin.

"Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya sebelum dia tampil membuat laporan polis bersama ibu kandungnya.

"Gadis itu tinggal bersama ibu dan bapa tirinya sejak 2014. Mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika ibunya tiada di rumah apabila suspek masuk ke dalam bilik tidurnya.

"Menurut mangsa, dia dirogol bapa tirinya sejak berusia 11 tahun dan mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana takut dengan ugutan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seorang penjawat awam berusia 38 tahun direman selama enam hari untuk membantu siasatan kes rogol membabitkan anak tirinya sejak tiga tahun lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang penjawat awam berusia 38 tahun direman selama enam hari untuk membantu siasatan kes rogol membabitkan anak tirinya sejak tiga tahun lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan pegawai perubatan terdapat kesan kejadian baru dan lama pada kemaluan mangsa.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek mengaku merogol anak tirinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 1:01 PM