PENGAWAL keselamatan dan isterinya (gambar kanan) ditahan reman bagi membantu siasatan kes rogol anak tiri. FOTO arkib NSTP
PENGAWAL keselamatan dan isterinya (gambar kanan) ditahan reman bagi membantu siasatan kes rogol anak tiri. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lelaki yang direman bersabit kes rogol anak tirinya dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok atas 32 pertuduhan termasuk 11 kes rogol dan 12 kes melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun itu direman seminggu sejak Ahad lalu bagi membantu siasatan kes rogol anak tirinya yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Jasin.

Menurutnya, siasatan kes itu sudah selesai dijalankan dan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) semalam bagi mendapatkan arahan lanjut.

Katanya, arahan diterima adalah untuk menuduh suspek atas 11 pertuduhan rogol mangsa bawah umur mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan 12 tuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Suspek juga akan dituduh atas lapan pertuduhan mengikut Seksyen 377 CA KK iaitu melakukan perhubungan seks menggunakan objek dan satu pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376(1) KK.

"Isteri supek yang turut direman bagi membantu siasatan kes ini akan dijadikan saksi pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, siasatan mendapati mangsa dirogol oleh bapa tirinya sejak awal Januari 2020 dan kejadian berlaku di bilik tidur mangsa pada tengah malam di rumah mereka di Taman Maju Jasin.

"Mangsa sedang tidur sebelum didatangi suspek yang bertindak menutup mulutnya dan merogol mangsa tanpa kerelaannya. Ketika kejadian ibu mangsa sedang tidur di biliknya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri terbabit ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (klia2) pada Sabtu lalu.

Suspek lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol anak tirinya hingga menyebabkan mangsa melarikan diri akibat trauma, bulan lalu, manakala isterinya disyaki bersubahat menyembunyikan perbuatan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 11:51 AM