GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Akibat tidak lagi sanggup menjadi mangsa rogol bapa saudara, seorang remaja perempuan membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 14 tahun itu jam 12.51 tengah hari.

"Menurut mangsa, dia dirogol suspek berusia 41 tahun sejak Mac hingga Disember tahun lalu di rumah keluarga mereka di Sea Park.

"Mangsa memaklumkan dia dirogol oleh suspek ketika ibunya tiada di rumah atau semasa adik-beradiknya tidur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan suspek di sebuah rumah di Sea Park jam 7.30 malam hari sama.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

"Mangsa kini diberikan perlindungan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 2:50 PM