Keadaan kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang remuk dan terputus dua sejurus merempuh sebarang pokok tepi Jalan Kuala Baram Bypass malam tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Keadaan kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang remuk dan terputus dua sejurus merempuh sebarang pokok tepi Jalan Kuala Baram Bypass malam tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Miri: Pekerja pelantar minyak dan rakan wanitanya maut selepas kereta dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Kuala Baram Bypass, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian pada 10.10 malam, mangsa yang maut dikenali sebagai Mika Barnbas Anak Small, 45, manakala rakan wanitanya belum dikenal pasti identitinya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki kedua-dua mangsa datang dari arah Permyjaya menuju ke Bandaraya Miri.

"Sebaik tiba di satu laluan lurus berkembar sehala, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahu kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok besar.

"Impak yang cukup kuat akibat kemalangan itu menyebabkan kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa terputus dua," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Katanya, mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri bagi bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 4:23 PM