GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bekalan air bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di kesemua kawasan yang terjejas dengan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih pada 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, Air Selangor sudah menjalankan ujian kualiti air dan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga sudah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna.

"Pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan-kawasan yang terjejas.

"Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam, 3 September 2021.

"Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna dan premis-premis kritikal yang terbabit," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Menurutnya, Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air dari lori tangki.

Sila rujuk aplikasi Air Selangor, laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Facebook Twitter, Instagram Air Selangor untuk maklumat bekalan air yang sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 9:55 AM