Mohd Akmal Kamarudin
Mohd Akmal Kamarudin
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak panas hampir 40 minit selepas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin sekali lagi diserang bertubi-tubi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang, hari ini.

Adun Selama itu diasak beberapa Adun terutama Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji), Tan Kar Hing (PH-Simpang Pulai), Nga Kor Ming (DAP-Aulong) dan Jenny Choy (PH-Canning) selepas 20 minit sesi awal penggulungan Mohd Akmal yang langsung tidak memberi ruang dan tidak mengendahkan Adun berkenaan untuk mencelah bertanyakan soalan berhubung isu Covid-19, dalam soalan lisan ditegaskan sebelum ini.

Mohd Akmal didakwa tidak menjalankan tugas sewajarnya selaku Exco Kesihatan dan meletakkan beban tugas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad khususnya isu turun padang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan hospital.

Howard Lee yang bangun mencelah mempertikaikan masalah kelengkapan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negeri ini dalam keadaan kes semakin meningkat mendadak.

"Ketika itu, kes harian melebihi 138 peratus kapasiti ICU dengan lebih 200 kes harian dan kes harian mencecah 1,200 ke 1,300 kes.

Adakah kita bersiap siaga apabila kes ICU meningkat, jadi apakah tindakan Kerajaan negeri dan Exco Kesihatan?

"Apa yang Exco Kesihatan buat dan jawapan Exco Kesihatan hari ini hanya baca mengikut statistik sahaja dan YB tidak menjawab soalan," katanya.

Tan turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila Adun terbabit tidak dibenarkan mencelah berhubung isu sama.

"Berapa ICU dan berapa hospital yang (Exco Kesihatan) pernah turun dan pergi? Tahu tak talian kecemasan hotline semua tiada orang jawab!

"Dia kata ada sebahagiannya (portfolio) jatuh di bawah MB Perak, tetapi kerja hakiki anda ada banyak lagi. Tetapi tadi gaya Exco Kesihatan menjawab soalan jelas tidak sepenuh yakin apa yang berlaku di bawah itu," katanya.

Nga turun mengkritik tindakan exco terbabit yang hanya membaca teks semata-mata tanpa menjawab secara jelas soalan diketengahkan.

"Jangan baca teks, ini bukan kuliah atau taklimat, jika tidak memberi laluan (mencelah) tak payah terima gaji, senang sahaja. Kamu dibayar oleh rakyat untuk bertanggungjawab sebagai Exco Kesihatan, bukan datang sini untuk baca teks.

"Kes kematian di Perak hampir 500 orang dan jumlah jangkitan 65,000, saya tanya Exco apa yang perlu dilakukan Exco untuk selamatkan rakyat negeri Perak, inilah tugas hakiki bukan lari dari tanggungjawab dan baca teks!," katanya

Sidang Dun menjadi panas lebih 40 minit dan Speaker Dun Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid cuba mengawal keadaan selain Datuk Tarmizi Idris (BN-Kenering) yang turut bangkit menenangkan situasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:13 PM